BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:
Teks Ucapan Menteri Besar Kelantan
 
 
Maksudnya: 

"Apa saja harta rampasan yang diberikan Allah kepada rasulNya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang dalam perjalanan supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan rasul kepada mu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagi mu maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya". 

Surah Al-Hasyr : 7 
YB Tuan Yang DiPertua, 

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wataala kerana dengan taufik dan hidayahNya, saya dapat membentangkan Belanjawan Tahun 2000 di Dewan yang mulia pada hari ini. 

Belanjawan yang akan dibentangkan ini adalah belanjawan pertama didalam alaf baru dan abad ke 21. Alaf baru yang akan kita hadapi kira-kira 66 hari dari sekarang adalah satu anugerah daripada Allah kepada kita yang patut disyukuri. Peluang untuk merentas abad dan alaf ini tidak dapat dirasai oleh semua kawan-kawan dan sahabat kita, kerana sebahagian daripada kita telah dipanggil oleh Allah lebih awal daripada kita. Antaranya ialah dua orang dari sahabat kita ahli dewan yang mulia ini iaitu YB Pasir Tumbuh dan YB Jelawat telahpun dipanggil menemui Allah beberapa waktu yang lalu. 

Oleh kerana kita masih diberi kesempatan ini untuk menikmati berbagai nikmat di atas muka bumi ini patut mempertingkatkan kesyukuran dengan memperbanyakkan amalan soleh dan ketaatan kepada Allah, tuhan sekelian alam. Semoga kalau ditakdirkan kita dipanggil oleh Ilahi, kita dapat kembali kepadaNya dengan jiwa yang tenang dan dirahmatiNya. 

Maksudnya: 

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah kedalam jamaah hamba-hambaKu dan masuklah kedalam syurgaKu"

(surah Al-Fajr : 27 - 30) 
2. Kita juga bersyukur kerana setelah lebih dua tahun negara dilanda kegawatan ekonomi, Negeri Kelantan telah dapat mengharungi kemelesetan tersebut berkat usaha gigih semua pihak untuk memulihkan kedudukan sosio ekonomi rakyat di negeri ini. Jelas sekali strategi belanjawan yang diamalkan selama ini telah berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

YB Tuan Yang DiPertua, 

3. Pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan bertambah baik pada tahun 2000 nanti dimana Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) sebenar dijangka berkembang pada kadar 1 peratus pada tahun 1999 dan antara 3 peratus hingga 5 peratus pada tahun 2000. 

4. Namun begitu, kita tidak boleh merasa lega dengan ramalan tersebut kerana kadar pertumbuhan tersebut banyak dipengaruhi oleh kedudukan ekonomi dunia. Jika kedudukan ekonomi negara-negara rakan perdagangan utama Malaysia merosot, sudah tentu kadar pertumbuhan yang diunjurkan itu tidak akan tercapai. 

5. Dasar Berjimat dan Perbelanjaan Berhemat telah meletakkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri pada keadaan yang kukuh sehingga Kerajaan Negeri telah dapat menyelesaikan masalah bekalan air dengan mengambil alih Syarikat Kelantan Water Sdn. Bhd. dengan menggunakan sumber kewangan sendiri. Disamping itu, Kerajaan Negeri masih mampu menjelaskan hutang piutang lama yang telah dibebankan secara paksa keatas kita dimana ianya dapat dibayar setiap tahun kepada Kerajaan Persekutuan mengikut jadual yang telah ditetapkan tanpa meninggalkan sebarang tunggakan. Pada tahun 1998, Kerajaan Negeri telah menjelaskan hutang sebanyak RM 25.25 juta sebagaimana yang telah dijadualkan. Keupayaan seperti ini tidak wujud pada mana-mana Kerajaan Negeri yang lain. Berdasarkan fakta yang diterbitkan, Kelantan adalah satu-satu negeri yang tidak mempunyai hutang yang tertunggak. Dalam masa yang sama kita juga mampu melaksanakan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membayar bonus dan inisiatif-inisiatif yang lain untuk kakitangan Kerajaan lebih baik daripada apa yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu kita telah membayar RM 100 sebulan untuk tempoh bagi tiga bulan pertama dan baki lagi RM 300 dibayar sekali gus. 

6. Saya ingin menyatakan disini bahawa tahun 1998, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 188.88 juta bagi perbelanjaan mengurus iaitu penjimatan sebanyak RM 23.85 juta daripada yang dianggarkan sebanyak RM 212.83 juta. Ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri mampu menguruskan pertadbiran negeri ini dengan baik tanpa sebarang masalah yang besar seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu. 

7. Pengecilan saiz peruntukan dalam belanja mengurus adalah satu bayangan keperihatinan kerajaan untuk melihat unsur penjimatan berlaku. Kita percaya jika ada iltizam yang benar-benar tinggi, masih ada ruang yang luas bagi meningkatkan mutu perkhidmatan melalui penekanan kualiti dan kecekapan. Dengan peruntukan belanja mengurus yang dikurangkan sedikit, tidak mustahil jabatan atau agensi Kerajaan masih mampu mengekalkan yang sama malah mungkin meningkat. Untuk itu, mungkin telah tiba masanya untuk setiap jabatan atau agensi Kerajaan membuat penilaian semula keatas setiap dasar, statergi, program dan aktiviti untuk disesuaikan dengan pengharapan kumpulan sasar yang kian berubah. Gesaan paradigma ini amat penting diperhatikan untuk mengukuhkan keberkesanan perkhidmatan agar lebih kemas kini dan berorientasikan pelanggan. Berjimat sambil mengekalkan mutu perkhidmatan yang dihasilkan akan menambahkan keceriaan dan menampilkan citra betapa berkatnya hidup Membangun Bersama Islam. Sesungguhnya usaha memburu kualiti adalah satu usaha tekun yang tidak ada hentinya. 
 

  • 8. Ekoran daripada itu, marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran Ilahi yang telah memberi kekuatan kepada Kerajaan untuk mentadbir negeri yang dicintai ini dan dilimpahi rahmat serta rezeki yang dapat dinikmati bersama oleh semua rakyat diseluruh pelusuk negeri

  •  

     
     
     
     
     

  • TEKS UCAPAN MENTERI BESAR 
  • MATLAMAT BELANJAWAN TAHUN 2000 
  • ANGGARAN HASIL TAHUN 2000 
  • ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS TAHUN 2000 
  • ANGGARAN PERBELANJAAN KESELURUHAN MENGIKUT SEKTOR 
  • KERAJAAN ELEKTRONIK 
  • PENDIDIKAN DAN KEROHANIAN 
  • PENDIDIKAN ISLAM BERKUALITI 
  • PERTANIAN 
  • KEADILAN SOSIAL 
  • KEBAJIKAN ORANG ASLI DAN PELANCONGAN
  • INFRASTRUKTUR, BEKALAN AIR, PENUTUP

  •  

     
     
     

     p/s: Belanjawan 2000 Kerajaan Kelantan telah dibentangkan oleh 
           YB Ust. Ab. Halim b. Ab. Rahman, Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 27 Oktober 1999