BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:

MATLAMAT BELANJAWAN TAHUN 2000
YB Tuan Yang DiPertua,

9. Bertepatan dengan suasana ekonomi masa kini dan juga selaras dengan tumpuan utama Belanjawan Tahun 2000 iaitu untuk mencergaskan aktiviti-aktiviti ekonomi dan meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat maka Kerajaan telah menetapkan matlamat-matlamat berikut: 

  • 1. Meneruskan usaha-usaha yang boleh mendorong kepada pertumbuhan ekonomi dengan pertambahan perbelanjaan secara berhemat. 
  • 2. Meneruskan agenda bagi meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi rakyat bagi mengurangkan kesan negatif akibat dari kelembapan ekonomi terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin. 
  • 3. Meneruskan dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemat bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dengan mengurangkan defisit. 
  • 4. Meneruskan usaha untuk mewujudkan sektor pertanian yang moden dan komersial yang mana sektor ini akan terus menjadi teras pembangunan ekonomi negeri. 
  • 5. Meneruskan pelaksanaan program-program pembangunan bagi menghasilkan masyarakat yang berilmu, produktif, berdikari dan berakhlak mulia selaras dengan dasar Kerajaan menjadikan Islam sebagai Ad-din. 
  • 6. Mewujudkan pengurusan pentadbiran yang baik , beramanah, cekap, adil, telus dan berwibawa menangani krisis. 

  •  
BELANJAWAN NEGERI TAHUN 2000

YB Tuan Yang Di Pertua, 

10. Belanjawan Tahun 2000 merupakan belanjawan defisit di mana Anggaran Hasil dianggarkan sebanyak RM 158.76 juta manakala Perbelanjaan Mengurus dianggarkan berjumlah RM 191.37 juta. Ini menunjukkan kekurangan sebanyak RM 32.61 juta. Walaupun Anggaran Hasil tahun 2000 menunjukkan peningkatan berbanding Anggaran Hasil tahun 1999, namun ianya masih tidak dapat menampung Anggaran Perbelanjaan Mengurus yang juga meningkat berbanding Anggaran Perbelanjaan Mengurus tahun 1999.