BELANJAWAN TAHUN 2000
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:

INFRASTRUKTUR, BEKALAN AIR, PENUTUP

INFRASTRUKTUR

YB Tuan Yang DiPertua, 

70. Pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam telah dikenal pasti sebagai pembangunan yang penting bagi memenuhi kehendak pembangunan sosial dan ekonomi negeri terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. 

71. Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai sumber kewangan yang terhad, namun Kerajaan masih mampu melaksanakan beberapa projek pembangunan infrastruktur di atas kesedaran bahawa ianya akan memberi kesan gandaan secara tidak langsung kepada perkembangan aktiviti-aktiviti ekonomi. Justeru itu sebanyak RM 38.94 juta diperuntukkan kepada Sektor Infrastruktur. Daripada jumlah ini sebanyak RM 23.45 juta diperuntukkan kepada pembangunan jalanraya dan jambatan. 

72. Dalam tahun 1999, dua buah jambatan baru telah dapat disiapkan iaitu Jambatan Wakaf Stan, Kota Bharu sepanjang 150 meter dengan kos sebanyak RM 4.33 juta dan Jambatan Sungai Geale, Kuala Krai sepanjang 125 meter dengan kos RM 3.09 juta. Sementara itu sebatang jalan baru telah disiapkan iaitu Jalan Wan Ahmad ke Bukit Panau sepanjang 1.35 km dengan kos sebanyak RM 255,000. Tambahan dari itu sepanjang 160.56 km jalan dengan kos RM 13.59 juta telah dinaikkan taraf. 

BEKALAN AIR

YB Tuan Yang DiPertua, 

73. Permintaan bekalan air di Negeri Kelantan bagi tempoh tahun 2000 hingga tahun 2010 dijangka akan meningkat daripada 234 juta liter sehari pada tahun 2000 kepada 417 juta liter sehari pada tahun 2010. Sedangkan jumlah pengeluaran air maksima yang dapat dibekalkan oleh 32 buah loji pada masa ini ialah 210 juta liter sehari. Defisit permintaan berbanding pengeluaran yang meningkat ini jika tidak diatasi segera akan menambahkan kerumitan kepada pengguna. 

74. Sehubungan dengan itu, sebanyak 10 buah Skim Bekalan Air yang baru dengan kos sebanyak RM 600 juta dirancang untuk dilaksanakan yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air kepada 377 juta liter sehari. Apabila skim-skim baru ini dapat dilaksanakan maka mutu bekalan air yang dibekalkan akan dapat dipertingkatkan dan dapat membekalkan air bersih yang sempurna kepada seluruh penduduk di Negeri Kelantan. 

75. Disamping itu masalah ketiadaan air terutama di kawasan-kawasan yang sentiasa terputus bekalan air akan dapat dikurangkan. Tambahan pula ianya akan dapat memberi faedah sosio ekonomi kepada penduduk di Negeri Kelantan. 

YB Tuan YangDi Pertua, 

76. Pelaksanaan Skim-skim bekalan air bersih sepatutnya dapat dimulakan lebih awal jika Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebagaimana yang telah diluluskan di bawah Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU). Projek-projek ini telah diluluskan pelaksanaan dalam Rancangan Malaysia Kelima ( 1986 - 1990 ) dan disambung dalam Rancangan Malaysia Keenam ( 1991 - 1995 ). Namun demikian, projek ini telah tidak dapat dilaksanakan disebabkan peruntukan tidak disalurkan walaupun perjanjian telah ditandatangani. Kerajaan Negeri adalah komited untuk melaksanakan projek tersebut dan diharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian yang sewajarnya agar program bekalan air bersih kepada seluruh rakyat dapat diutamakan serta dilaksanakan. 

PENUTUP 

YB Tuan Yang DiPertua, 

77. Sebagai kesimpulannya, Belanjawan tahun 2000 yang dibentangkan sebentar tadi telah merangkumi semua sektor utama yang dapat menyumbang kepada pengukuhan struktur ekonomi negara. 

78. Saya berkeyakinan bahawa semua program-program yang dirancang akan dapat dicapai dengan jayanya hasil dari komitmen dan kesungguhan semua pihak bagi merealisasikan matlamat-matlamat yang telah dirancang agar Negeri Kelantan Darulnaim terus maju, aman, damai dan dirahmati Allah, menepati kehendak ayat : 

79. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya anggota-anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, anggota-anggota keselamatan serta pemimpin-pemimpin masyarakat dari pelbagai kaum yang bukan sahaja telah memberi khidmat yang cemerlang dan berdedikasi malah telah dapat memainkan peranan demi untuk menjadikan Negeri Kelantan terus aman, damai dan makmur sehingga kini dan akan datang, insyaAllah. 

YB Tuan Yang DiPertua, 

Saya pohon mencadangkan. Sekian. 

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH