BELANJAWAN TAHUN 2000 
KERAJAAN NEGERI KELANTAN:

KEBAJIKAN ORANG ASLI dan PELANCONGAN

KEBAJIKAN ORANG ASLI

YB Tuan Yang DiPertua, 

64. Kerajaan sangat mengambil perhatian akan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat Orang Asli di Negeri Kelantan. Bagi memberi kehidupan yang lebih selesa kepada masyarakat Orang Asli, Kerajaan Negeri telah menyediakan kawasan seluas 500 ekar di Jedip, Pos Brooke kepada 150 keluarga . Setiap keluarga Orang Asli akan diberi lot perumahan seluas 150 depa dan lot kebun seluas tiga ekar. Di samping itu, kawasan penempatan tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan elektrik, bekalan air, surau dan pelbagai kemudahan asas yang lain. 

65. Projek yang pertama kali diusahakan ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk Orang Asli malah akan memudahkan pihak Kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada penduduk Orang Asli yang tinggal di pendalaman Kelantan. Di samping itu juga, Kerajaan Negeri bersama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan menanggong pembinaan setiap rumah Orang Asli yang terlibat yang bernilai lebih kurang RM 12,000 setiap satu. 

PELANCONGAN 

YB Tuan Yang DiPertua, 

66. Sektor pelancongan merupakan salah satu sektor utama yang menyumbang kepada pengaliran masuk wang asing ke negara kita. Dan setakat ini sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi Negeri Kelantan adalah sangat memberangsangkan. Pada tahun 1998, Negeri Kelantan telah menerima kunjungan seramai 2.63 juta pelancong iaitu meningkat sebanyak 16 peratus berbanding tahun 1997 yang berjumlah 2.27 juta orang. Dan ianya telah memberi pendapatan kepada Negeri Kelantan sebanyak RM 767.22 juta pada tahun 1998 berbanding RM 684.68 juta pada tahun 1997 iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus. 

67. Sementara itu, jumlah tempat penginapan seperti hotel, asrama dan rumah-rumah tumpangan telah meningkat dari 71 buah pada tahun 1992 kepada 163 buah pada tahun 1997 iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus dan jumlah bilangan bilik telah bertambah dari 1,355 bilik pada tahun 1992 kepada 4,467 bilik pada tahun 1997 iaitu meningkat sebanyak 230 peratus. 

68. Negeri Kelantan kaya dengan pelbagai jenis makanan, kebudayaan dan kesenian yang unik serta tempat-tempat yang menarik yang boleh ditonjolkan kepada masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan ( TIC ) akan meningkatkan lagi kualiti dari segi kemudahan , perkhidmatan dan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Negeri Kelantan. Di samping itu, penganjuran beberapa acara pelancongan tahunan seperti Pesta Flora, Karnival Kebudayaan, Pesta Wau Antarabangsa dan lain-lain lagi dijangka akan menarik lebih ramai pelancong untuk datang dan mengulangi kunjungan mereka ke Negeri Kelantan. 

69. Kerajaan Negeri cukup berpuas hati kerana program-program yang telah dibuat telah menarik minat pelancong ke Negeri Kelantan. Aktiviti-aktiviti membeli belah dari berbagai jenis makanan hinggalah kepada barangan lain seperti kain batik dan kraftangan telah memberi pendapatan secara langsung kepada rakyat dan diharap daya tarikan Kelantan sebagai Syurga Membeli Belah dengan harga yang berpatutan dapat dikekalkan.