BERITA MALAYSIA


March 07 , 2000 17:12PM

 

KELANTAN MINTA BANTUAN TERENGGANU SELESAI MASALAH AIR

 

KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan PAS Kelantan akan meminta bantuan daripada Terengganu bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama mengenai bantuan bekalan itu daripada Terengganu akan dibincangkan secara terperinci dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Terengganu, Yahaya Ali.

"Sebagai contoh daerah Besut di Terengganu mempunyai lebihan air sebanyak 4 juta liter dan jumlah itu jika disalurkan ke Kelantan ia akan menyelesaikan masalah penduduk terutamanya di kawasan sempadan kedua-dua negeri itu.

"Hari ini kita bincang ala kadar tentang bantuan bekalan air oleh kerajaan PAS Terengganu sebab dia (Terengganu) memang mempunyai sumber air yang banyak dan mampu membantu Kelantan dalam menangani masalah itu," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang dan beberapa anggota exco kerajaan kedua-dua negeri serta pegawai kanan kerajaan Terengganu. Nik Abdul Aziz berada di sini dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Terengganu hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, kualiti perkhidmatan bekalan air di Kelantan juga bertambah baik sejak Kerajaan Negeri mengambil-alih perkhidmatan itu daripada Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB), pada April tahun lepas.

"Kita berpuas hati dengan pengurusan air di Kelantan tetapi kita berharap Terengganu dapat membantu di beberapa kawasan bersempadan dengan negeri berkenaan terutamanya di Pasir Putih," katanya.

Beliau berkata kunjungannya itu juga turut membincangkan mengenai kerjasama menggalakkan tanaman jagung sebagai aktiviti alternatif bagi tanaman tembakau kepada para petani di kedua-dua negeri.

Jagung yang digunakan sebagai makanan haiwan mempunyai potensi baik di pasaran tempatan dan luar negeri di samping mudah untuk menanamnya dan Kelantan dijangka melaksanakan tanaman jagung di kawasan seluas 2,000 hektar tahun ini berbanding 300 hektar pada tahun lepas, katanya.

"Terengganu sendiri mengalami kerugian hingga RM3 juta daripada hasil tanaman tembakau akibat banjir dan sewajarnya aktiviti itu ditukar kepada tanaman jagung," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan juga mempunyai kilang memproses jagung menjadi bijiran makanan haiwan dan jika tanaman itu berjaya ia mampu mengurangkan jumlah import bijiran untuk haiwan yang kini dianggarkan RM9 bilion setahun.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, kerajaan Terengganu sedia mempertimbangkan permintaan Nik Abdul Aziz untuk mendapatkan bekalan air selain menjalinkan kerjasama dalam projek tanaman jagung.

Beliau berkata anggota exco berkenaan di negeri ini diberikan tanggungjawab mengadakan perbincangan itu dengan kerajaan Kelantan termasuk perkara-perkara yang berbangkit dengan bekalan air itu.

"Atas sifat kita ini (Kelantan dan Terengganu) sebagai adik beradik, kita sedia beri bantuan kerana kita tidak menafikan kemenangan PAS di Terengganu juga adalah tempias daripada kemenangan PAS di Kelantan.

"Kita berharap perbincangan hari ini akan memberikan hasil yang terbaik kepada kedua-dua kerajaan PAS," katanya. -- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.