BERITA MALAYSIA


Febuary 28 , 2000 17:39PM

 

KELANTAN AKAN TUTUP ANAK SYARIKAT PKINK YANG RUGI

 

KOTA BAHARU, 28 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri bercadang untuk menutup atau menjual mana-mana anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sekiranya terus mencatatkan kerugian dalam operasi tahun ini.

Timbalan Menteri Besar Abdul Halim Abdul Rahman berkata tindakan itu perlu bagi memastikan hanya anak syarikat yang mampu mencatatkan keuntungan sahaja dikekalkan bagi mengelakkan bebanan kepada PKINK dan kerajaan negeri.

"Pada tahun 2000 ini kita mahu semuanya membuat keuntungan dan anak syarikat yang rugi atau lemah akan ditawarkan untuk dijual kepada syarikat Bumiputera," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (pindaan) pada persidangan sehari Dewan Undangan Negeri hari ini.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk memantapkan pengurusan dan operasi PKINK bagi membolehkan perbadanan dan anak syarikatnya memperolehi keuntungan.

Abdul Halim berkata kira-kira separuh iaitu 14 buah anak syarikat PKINK sahaja yang mampu mencatatkan keuntungan setiap tahun manakala yang lain didapati mengalami masalah dan sering rugi.

"Antara yang rugi ialah Perdana Resort dan Stong Hill Resort dan sekiranya berterusan mungkin akan dijual dan jika tiada pembeli kita tutup," katanya.

Abdul Halim berkata daripada tunggakan RM622 juta hutang pinjaman Kelantan daripada kerajaan pusat pada masa ini, sebanyak RM165 juta adalah pinjaman yang dibuat melalui PKINK.

Menurutnya jumlah itu berkurangan berbanding semasa PAS mengambil alih kerajaan negeri daripada Barisan Nasional pada 1990 apabila pinjaman PKINK adalah sebanyak RM250 juta.

Abdul Halim juga berkata PKINK dan anak syarikatnya sering menghadapi masalah untuk mengembangkan operasinya, dan mendakwa ada sekatan daripada "pihak atasan" khususnya membabitkan pinjaman daripada institusi kewangan.

"Pinjaman mudah pun sukar dibuat daripada bank dan apabila ditanya pegawai itu berkata ia adalah arahan orang atasan dan dalam keadaan sesak serta miskin PKINK tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Menurutnya berikutan itu PKINK hanya berharap kepada pusingan dana dalaman bagi meneruskan operasinya.

Beliau berkata pengalaman dan keadaan PKINK adalah berbeza berbanding Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (SEDC) yang lain yang sering mendapat bantuan kewangan dan sokongan daripada kerajaan pusat.

Laporan Ketua Audit Negara 1997 baru-baru ini menunjukkan PKINK mencatatkan kerugian terkumpul RM21.26 juta sehingga 31 Disember 1997 apabila lapan anak syarikatnya mengalami kerugian besar kerana membuat pelaburan tidak menguntungkan.

Laporan itu juga mencadangkan supaya PKINK mengkaji semula rancangan dan strategi pelaburannya bagi mengelakkan kerugian terus meningkat.

Abdul Halim berkata anggota DUN dan rakyat tidak wajar terpengaruh dengan laporan negatif oleh media massa kerana pengurusan dan pegawai PKINK sentiasa berusaha untuk membangunkan perbadanan itu.

Beliau turut memberi jaminan untuk bertindak tegas dengan menyingkirkan mana-mana pegawai PKINK sekiranya terbukti melakukan penyelewengan dan mempersia-siakan amanah rakyat.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan.

Persidangan itu turut meluluskan dua Enakmen Perbekalan Tambahan Yang Ketiga (1999) Tahun 2000 membabitkan perbelanjaan tambahan kerajaan negeri sebanyak RM9.6 juta serta Enakmen Pinjaman (Pelan Kontingensi Y2K) 2000, melibatkan pinjaman sebanyak RM3 juta daripada peruntukan kerajaan pusat bagi mempertingkatkan sistem komputer agensi-agensi kerajaan negeri bagi menghadapi masalah pepijat alaf yang lepas. -- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.