BERITA MALAYSIA


Febuary 18 , 2000 16:20PM

 

PAS BUAT CONTOH TERBAIK PIKAT BUKAN ISLAM, KATA NIK AZIZ

 

KOTA BAHARU, 18 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas akan melakukan contoh terbaik sebagaimana yang dikehendaki Islam untuk menarik minat orang bukan Islam memeluk agama itu.

Beliau berkata, Pas tidak akan melakukan sesuatu untuk memaksa mereka memeluk Islam kerana Islam sendiri tidak mahu umatnya berbuat demikian.

Sebaliknya Islam mengkehendaki umatnya menunjukkan contoh yang terbaik saperti tingkah-laku terpuji, kata Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas dalam kuliah Jumaat di pejabat Pas, di sini hari ini.

"Kalau kita memaksa mereka memeluk Islam mereka tidak akan melakukan tuntutan Islam seperti sembahyang, berpuasa dan menunaikan fardu haji secara yang ikhlas," katanya.

Katanya, umat Islam seharusnya melakukan dakwah di kalangan mereka dengan pelbagai cara termasuk penerangan tentang kebaikan Islam, mengawal diri dengan tidak melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan hati mereka.

Beliau berkata, memaksa mereka berbuat sesuatu seolah-olah sesuatu perkara itu tidak baik dan tidak jelas.

Nik Aziz juga membidas sesetengah anggota Pas yang memohon pertolongan daripada beliau secara yang tidak munasabah seperti memohon kawasan balak tetapi tidak memenuhi syarat-syarat saperti yang dikehendaki terutamanya modal pusingan.

-- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.