KERAJAAN NEGERI KELANTAN BERHASRAT GUNA TAKWIM ISLAM BAYAR GAJI
 
KOTA BHARU, 9 Ogos  -- Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat membayar gaji kakitangannya berpandukan Takwim Islam.

Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan itu bertujuan untuk memartabatkan keagungan ilmu falak Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sejak dahulu lagi.

"Saya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri Kelantan secepat mungkin agar pembayaran gaji dan sebagainya khususnya bagi kerajaan negeri Kelantan menggunakan takwim Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Seminar Penghayatan Ilmu Falak Menjelang Alaf Baru di Balai Islam, Lundang hari ini.

"Diharapkan tiap-tiap pegawai kerajaan akan menengok kalendar Hijrah lebih awal daripada kalendar Masihi. Inilah kelebihan mengadakan sebuah kerajaan yang mengawal Islam," katanya.

Apabila cadangan itu dilaksanakan kakitangan kerajaan Kelantan dijangka menerima gaji pada setiap akhir atau awal bulan kalendar Hijrah dan bukan lagi berdasarkan amalan sekarang.

Perbezaan kalendar Hijrah dan kalendar Masihi adalah berdasarkan cara perkiraan jumlah hari dalam masa sebulan iaitu perkiraan Hijrah berdasarkan peredaran bulan manakala kalendar Masihi berdasarkan peredaran matahari.

Perbezaan itu menyebabkan kalendar Hijrah mempunyai 348 hari setahun manakala kalendar Masihi sebanyak 365 hari setahun. Kedua-dua tahun itu mempunyai 12 bulan bagi satu tahun.

Ditanya mengenai bilangan hari tahun Islam yang lebih pendek bagi menggantikan kalendar sekarang, YAB Tuan Guru berkata "Pendek, lagi untung, lagi untung para pegawai, kejab-kejab terima gaji".
Cadangan itu akan dilaksanakan seberapa segera yang boleh.

Ketika ditanya adakah pelaksanan cadangan itu akan menyebabkan kesukaran dengan sistem sekarang, YAB Tuan Guru  berkata perkara itu boleh dikaji dan diatasi bagi mengelakkan timbul masalah.

Menurutnya cadangan itu juga tidak memerlukan kelulusan Dewan Undangan Negeri kerana hanya menyentuh soal pentadbiran kerajan negeri.

Cadangan berkenaan berkemungkinan akan dibawa ke mesyuarat Exco kerajaan negeri yang akan bersidang pada hari Rabu minggu depan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Abdul Rahman Hussein berkata pihaknya menyokong cadangan MB Kelantan itu, yang bertujuan memperluaskan penggunaan kalendar Hijrah di kalangan masyarakat negara ini.

Katanya usaha itu boleh menggalakkan generasi muda, yang sebelum ini kurang memahami takwim Islam untuk menggunakan kalendar Islam.

Katanya cadangan mengiktiraf penggunaan kalendar hijrah itu ada terkandung dalam 12 resolusi yang diluluskan oleh persatuan itu hari ini, 

Seramai 146 anggota persatuan itu hadir pada seminar itu yang bermula Sabtu lepas.

-- Sumber BERNAMA


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.