BERITA MALAYSIA


Febuary 08 , 2000 20:21PM

 

PAS MAHU BERMUZAKARAH DENGAN UMNO BUKAN BERDEBAT

 

KOTA BAHARU, 8 Feb (Bernama) -- PAS bersedia untuk bermuzakarah bukannya berdebat dengan Umno berhubung isu fitnah yang dikatakan menggugat perpaduan umat Islam di negara ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata muzakarah bererti berbincang dengan cara harmoni berlandaskan kebenaran berbanding debat yang bermaksud pertentangan pendapat yang dikemukakan secara keras demi menegakkan hujah masing-masing hingga sanggup mengenepikan kebenaran.

"Debat hanya diperlukan untuk menjelaskan Islam kepada orang bukan Islam, itu pun hanya apabila mereka mengajak berdebat," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbarnya Mohamed Fauzi Zakaria di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian berhubung kesediaan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir untuk berdebat dengan mana-mana anggota parti pembangkang termasuk Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz berhubung isu fitnah yang menggugat perpaduan umat Islam di negara ini.

Semalam, Zainal dilaporkan berkata beliau sendiri tidak gentar untuk berdebat dengan pemimpin-pemimpin parti pembangkang berkenaan bagi mengelakkan umat Islam negara ini terus terkeliru dengan dakyah-dakyah pihak tertentu yang berselindung di sebalik agama. -- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.