August 07 , 1999 14:42PM
UMNO BELUM BERSEDIA PERINTAH KELANTAN, KATA NIK AB. AZIZ
 
KOTA BAHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Umno belum bersedia untuk memerintah Kelantan kerana sehingga sekarang tidak terdapat sebarang perancangan yang hendak dilaksanakan bagi faedah rakyat negeri itu.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasinal ialah mengkritik dan memecah belahkan rakyat dengan memfitnah pemimpin-pemimpin PAS. 

"Sampai sekarang, saya tidak nampak satu program baru yang dibawa oleh Umno Kelantan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Teknologi Makmal Perubatan dan Kesihatan Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Nik Aziz berkata cita-cita Umno untuk membawa pembangunan kepada rakyat Kelantan adalah perkara lama yang sering dibangkitkan pada setiap kali pilihan raya sedangkan rakyat telah mengetahui kejayaan yang dicapai oleh PAS sejak memerintah negeri itu pada 1990.

Beliau berkata Umno dan BN juga tidak mampu untuk membangunkan masyarakat daripada segi keagamaan.

"Jadi tak ada sebab nak guna pembangunan, lebih-lebih lagi kebelakangan ini nampak sangat kejayaan kita (PAS) menyelesaikan masalah air," katanya.

Mengenai serangan peribadi yang dilemparkan oleh pemimpin Umno terhadapnya, Nik Aziz berkata Umno dan BN telah kehilangan modal dengan menuduh individu tertentu dengan tujuan untuk memfitnah.

Beliau berkata, sikap demikian dilakukan oleh golongan politik "orang kampung" yang suka serang individu tertentu bila bercakap soal politik.

Menyentuh kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa semalam yang mendakwa beliau tidak pandai mentadbir negeri, Nik Aziz berkata setiap kerajaan terdapat dua golongan iaitu golongan orang politik dan pegawai kerajaan.

"Orang politik kerja membuat peraturan dan dasar, kerja (melaksana)... kerja pegawai, pegawai orang terlatih, macam mana kita nak kata orang politik tak pandai," katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, Nik Aziz menyarankan penduduk luar dari Kelantan datang sendiri ke negeri itu untuk menilai perbezaan yang terdapat di Kelantan dengan negeri lain.

Beliau berkata walaupun Kelantan diperintah oleh sebuah kerajaan yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat tetapi ternyata mampu mentadbir sendiri dengan melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat.

"Tuan-tuan sendiri membuat perbandingan secara jelas, manakah yang lebih baik antara kerajaan yang diperintah berasaskan Islam dengan kerajaan yang berasaskan sekular," katanya. -- BERNAMA


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.