BERITA MALAYSIA


April 02 , 2000 21:26PM

 

PAS TERIMA KEPUTUSAN RAKYAT SANGGANG

 

KOTA BAHARU, 2 April (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima keputusan majoriti rakyat yang memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sanggang semalam.

"Saya terima keputusan itu dan saya juga ucap tahniah kepada mereka yang masih mengundi PAS," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya kalah menang dalam pilihan raya adalah "perkara biasa" dalam politik demokrasi.

Berliau berkata berdasarkan keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan PAS masih mendapat banyak sokongan daripada rakyat yang tetap mengundi parti itu walaupun terpaksa menerima "banyak tekanan".

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melahirkan rasa kesal kerana pada pilihan raya kecil itu beliau menerima banyak laporan bahawa pelbagai tekanan dan unsur rasuah digunakan termasuk penyalahgunaan harta kerajaan bagi memastikan kemenangan calon BN.

Beliau berkata pihak berkenaan sengaja "mendirikan banyak benteng-benteng" yang bertujuan menghalang rakyat daripada menjayakan demokrasi.

"Saya nampak unsur rasuah terlalu banyak, bagi basikal, bagi duit terang-terangan,"."Boleh kata semua orang PAS bersunggut terlalu banyak duit yang dicurah... dan kepada orang yang menang, jangan fikir boleh tidur nyenyak," katanya.

Nik Aziz berkata demikian bagi mengulas kemenangan calon BN Redzwan Harun, 49, yang menewaskan calon PAS Datuk Hishamuddin Yahya, 61, dengan majoriti undi 1,963.

Redzwan mendapat 6,743 undi manakala Hishamuddin mendapat 4,780 undi. -- BERNAMA

 


Copyright ©2000 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.