Make your own free website on Tripod.com

BERITA MALAYSIA


November 01 , 1999 21:33PM

 

PELAKSANAAN ASPEK KEROHANIAN DIWAJIB DI KELANTAN

 

KOTA BAHARU, 1 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri akan terus mempastikan pelan pembangunan yang dirancang untuk masa depan turut mewajibkan pelaksanaan aspek kerohanian.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri tidak setakat mahu melihat angka meningkat dalam taraf hidup rakyat dari sudut kebendaan semata-mata tetapi turut memiliki nilai-nilai kerohanian yang tinggi.

"Di atas hamparan keluhuran pembangunan, kerohanian itulah harus menumpangnya pembangunan kebendaan seperti jalan raya, elektrik, air paip, bangunan dan pelabuhan," katanya pada majlis penutup Seminar Pelan Pembangunan Strategik Negeri Kelantan Tahun 2000-2010, di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata kerajaan negeri juga sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat dengan mempastikan nilai-nilai adil, penentuan taburan pengagihan kekayaan negeri yang lebih sama rata, membela golongan miskin dan menghapuskan amalan rasuah.

Program pembangunan pendidikan akan mendapat tempat yang istimewa dalam tempoh 10 tahun akan datang, dimana program-program Yayasan Islam Kelantan (YIK) amatlah relevan dalam mengisi agenda pembangunan insan berteraskan Islam, katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri bersedia membuat beberapa pelaburan yang bersifat persediaan untuk memajukan industri petroleum yang belum diterokai di persisiran pantai negeri ini.

Nik Aziz berkata pelan pembangunan strategik hasil seminar hari ini, memaparkan potensi, masalah, halangan dan cara mengatasinya untuk jangka masa 10 tahun iaitu dari tahun 2000 hingga 2010.

"Untuk melaksanakan pelan berkenaan, kurangkan kerenah birokrasi, bersatu dan terus bekerja keras sambil menjalinkan kerjasama ke arah membangunkan negeri ini," katanya.

Seminar Pelan Pembangunan Strategik Negeri Kelantan Tahun 2000-2010, membuat resolusi, pelan strategik pembangunan 10 tahun negeri Kelantan yang bersepadu dengan meletakkan pembangunan kemanusiaan sebagai tonggak utama.

Resolusi lain ialah menggemblengkan seluruh potensi alam secara strategik dan optimum, mewujudkan prasarana strategik bagi perkembangan perdagangan, pertanian kormesil, perindustrian, perikanan dan perkilangan.

-- BERNAMA

 


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.