EKONOMI 
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan 

Belanjawan Berhemah Dan 'Comel'

KETIKA berbahas cadangan belanjawan di Persidangan Dewan Ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan kesembilan di Kota Darul Naim di sini baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaburan, Haji Nordin Yakob berkata ia adalah satu belanjawan berhemah berdasarkan "baju diukur di tubuh kita, cukup comel." 

Kerajaan negeri, katanya tidak pernah berhutang untuk membayar gaji kakitangannya walaupun dalam defisit. Tidak seperti kerajaan negeri Kedah yang terpaksa berhutang dua kali dari Kerajaan Pusat untuk membayar gaji kakitangannya. 

Belanjawan tahun depan dijangka mencatat difisit sebanyak RM32.61 juta, justeru, perbelanjaan kerajaan negeri harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak defisit dalam perbelanjaan mengurus menjadi lebih besar. Angka defisit itu bagaimanapun menurun berbanding RM40.62 juta bagi belanjawan tahun ini. 

Kerajaan negeri telah mengenal pasti sektor pertanian merupakan nadi kepada pembangunan ekonomi Kelantan dan pada tahun hadapan, sektor ini diperuntukkan sebanyak RM42.63 juta, iaitu 17 peratus dari peruntukan perbelanjaan pembangunan tahun 2000 bagi perbelanjaan pengurusan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan di negeri ini. 

Nampaknya kerajaan Kelantan lebih maju dan pesat dari Kerajaan Pusat di bidang pertanian. Negeri Kelantan terkenal sebagai jelapang padi kedua terbesar selepas Kedah. 

Kerajaan Malaysia baru sedar bila makanan menjadi mahal, misalnya harga kelapa, padi, gula mahal, barulah hendak memberi perhatian kepada sektor ini, sedangkan kerajaan PAS Kelantan telah lama menggandakan usaha bagi memaksimumkan pendapatan petani dan usahawan tani melalui penggunaan sumber secara optimum dengan penekanan kepada penambahan produktiviti buruh dan modal serta intensiti penggunaan tanah ke arah mewujudkan sektor pertanian yang moden dan komersil. 

Kemajuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) juga terserlah apabila pencapaian akademik pelajar-pelajar SAR mendapat pengiktirafan universiti-universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dan luar negeri seperti Al-Azhar di Mesir. Malah pencapaian mereka setanding dengan sekolah-sekolah kerajaan yang sentiasa mendapat bantuan penuh Kementerian Pendidikan. 

Adun Tawang, Bachok, Ustaz Hassan Mahmod, berkata kecekapan mentadbir kerajaan negeri adalah asas utama menyebabkan kutipan hasil tanah meningkat begitu banyak sekali dari RM3 juta kepada RM9 juta. 

Beliau turut memuji langkah dan prinsip 'Membangun Bersama Islam' yang disandarkan kerajaan negeri bagi membangunkan kemajuan spiritual dan fizikal rakyat Kelantan. Kerana sebenarnya maju manusia adalah diukur di segi penghayatan kepada agama Islamnya, iaitu penghayatan manusia kepada perintah Allah sebagaimana yang ditekankan oleh Ustaz Hassan di persidangan tersebut. 

Pinjaman tanpa faedah kepada kakitangan kerajaan untuk membeli kereta, rumah, komputer, modal berniaga dan juga pinjaman RM200 melalui masjid kepada umat Islam yang dimajukan oleh kerajaan PAS telah mendapat sambutan baik rakyat Kelantan kerana setentunya ia tidak membebankan mereka untuk membayar faedah yang berlipat kali ganda. 

"Kami menggunakan pendekatan agama dengan mengatakan 'ini duit rakyat, sekiranya kamu mati dan tidak mahu membayar hutang, maka roh kamu tidak diterima Allah', maka dengan sendirinya rakyat yang berhutang akan membayar hutang mereka itu," kata Pengerusi Pembangunan Masyarakat Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum, Ustaz Hassan Muhammad, ketika menggulung perbahasan belanjawan bagi pihak kerajaan negeri. 

Banyak persoalan mengenai ketidakseriusan Kerajaan Pusat bagi membantu membangunkan negeri Kelantan timbul, yang telah mengenepikan Kelantan dari projek-projek pembangunan Kerajaan Pusat seperti tidak memasukkan negeri Kelantan dari 'Pembangunan Segi Tiga'. Padahal negeri ini bersempadan dengan negeri Thai. Dan tidak membangunkan industri petroleum dan gas di luar pantai Kelantan oleh Kerajaan Pusat melalui Petronas di Pantai Senok, Bachok, yang dikatakan terdapat penemuan 13 trilion tong minyak. -Harakah