Make your own free website on Tripod.com

BERITA MALAYSIA


October 31 , 1999 12:57PM

 

PUSAT PENETASAN AYAM TERBESAR BUMIPUTERA MAHU TINGKATKAN KELUARAN

 

KOTA BAHARU, 31 Okt (Bernama) -- Murni Hatchery Sdn Bhd (MHSB), anak syarikat Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) merancang untuk meningkatkan pengeluaran anak ayam sehingga 500,000 ekor sebulan menjelang pertengahan tahun depan.

Pengurus Besar KPKB Wan Abdul Rahman Wan Yaacob berkata, MHSB akan membuat pelaburan tambahan berjumlah RM1 juta dalam masa yang terdekat ini, bagi tujuan berkenaan.

Pelaburan terbaru itu akan diguna untuk membeli mesin penetasan, mendapatkan ayam-ayam baka berkualiti tinggi dan membina reban ayam bagi baka yang baru, katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Wan Abdul Rahman berkata, MHSB akan mendapatkan 25,000 ekor ayam baka sebagai tambahan kepada 60,000 ekor yang dimiliki sekarang.

Beliau percaya peningkatan dalam keluaran akan mengukuhkan lagi kedudukan MHSB sebagai pusat penetasan ayam milik penuh Bumiputera yang terbesar di negara ini.

"Langkah MHSB meningkatkan pengeluaran anak ayam adalah juga selaras dengan hasrat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang pernah membuat perakuan agar pengusaha tempatan menumpukan perhatian kepada pengeluaran bahan makanan," katanya.

Menurut Wan Abdul Rahman, kadar pengeluaran anak ayam untuk dibekalkan kepada penternak khususnya di negeri-negeri pantai timur masih rendah berbanding dengan permintaan yang begitu tinggi.

"Di Kelantan sahaja, penternak memerlukan 1.3 juta ekor anak ayam sebulan dan permintaan yang tinggi menjadikan aktiviti penetasan sebagai aktiviti yang begitu berpotensi untuk berkembang," katanya.

Pada masa ini pusat penetasan ayam MHSB di Bechah Kemuning, Machang berupaya menghasilkan 300,000 ekor anak ayam sebulan, menjadikannya pusat penetasan ayam yang terbesar di pantai timur Semenanjung.

Menurut Wan Abdul Rahman, pusat itu yang memulakan operasi pada Sept 1997 dengan pelaburan awal berjumlah RM5 juta kini mempunyai 25 pekerja Bumiputera, termasuk doktor veterinar sepenuh masa. -- BERNAMA

 


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.