206 PENDUDUK ASLI TOLAK KU LI

GUA MUSANG: Kepemimpinan Tengku Razaleigh Hamzah di sini semakin tercabar apabila seramai 206 penduduk Orang Asli di beberapa penempatan meninggalkan perjuangan bersama bekas pemimpin mereka itu untuk menyertai PAS.
Cawangan terbabit iaitu Sendrop seramai 82 orang diketuai Rashid Akoh, Sigar atau Kuala Tahu (48 orang - Harun Limus), Bahung (36 orang - Latip Siam), Lambok (40 orang - Ading Kerah) dan Kuala Betis (67 orang - Daud Salleh).
Manakala 158 lagi bekas-bekas Umno dan Semangat 46 dari Cawangan Sri Pulai, Kilang SEDC, Serian Batu 12 dan Dabong turut menyerah borang menyertai PAS pada majlis ceramah yang dihadiri Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sini, malam Ahad lalu. Majlis penyerahan borang besar-besaran itu dihadiri ribuan penduduk Gua Musang yang tidak ingin lagi bersama pemimpin yang pernah memusnahkan Semangat 46 itu. Hadir sama di majlis bersejarah itu, bekas Ketua Umno Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar, Pegawai Penerangan PAS, Haji Abdul Razak Abbas, pemimpin PAS kawasan dan KeADILan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika berceramah berkata, beliau merasakan kecil hati kerana pernah menolong seorang pemimpin yang meninggalkan perjuangan lama untuk menyertai Umno.
"Kita bekerja keras membantu Ku Li ketika berlangsung pilihan raya di sini, namun selepas menang dia menyertai Umno pula," katanya.
Haji Abdul Razak menggelarkan Ku Li sebagai 'Tok Selampit' kerana mahu menyembunyikan rakyat Kelantan dari sejarah sebenar Semangat 46 dikuburkan. Menurutnya, beliau tidak akan menghalalkan Ku Li yang belot dalam perjuangan kerana dia dipilih rakyat atas nama Angkatan Perpaduan Ummah dan bukannya Umno.
"Gaji yang dinikmati Ku Li sebagai wakil rakyat sekarang adalah tidak diredhai rakyat kerana dia telah melompat parti selepas dipilih rakyat," katanya disambut dengan ungkapan tidak rela oleh orang ramai yang hadir.

Sementara itu, Dato' Kamaruddin mempertikaikan kenyataan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu mengkaji perkataan berkaitan agama dalam sesuatu pertubuhan politik atau badan bukan kerajaan. Katanya, kenyataan itu seolah-olah menghina umat Islam apabila pemimpin itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas menyampaikan anugerah ' Sports Toto Man of Year '98 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 

HARAKAH