AKHBAR ROSAKKAN KENYATAAN MB

KOTA BHARU:  Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau memberi 'kata dua', apa lagi 'ugutan' kepada guru-guru sekolah agama bantuan yang tidak berpuas hati terhadap keputusannya mempertahankan sekolah agama rakyat (SAR), sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar harian, Sabtu lalu.
Katanya, apa yang dimaksudkan, mana-mana guru yang bersedia berkhidmat mengikut skim gaji yang ditetapkan kerajaan negeri sekarang, boleh terus mengajar. Beliau juga turut mengingatkan guru terbabit agar berfikir sekiranya ingin mencari pendapatan lebih dengan sijil yang mereka miliki sekarang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jambatan Tok Kenali yang berharga RM3.3 juta, di Kampung Wakaf Stan, di sini, Isnin lalu. Turut hadir pada majlis tersebut anggota-anggota Exco, Haji Omar Mohamad, Haji Hassan Abdullah, Ustaz Muhamad Daud dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Antara kata-kata yang disebut Menteri Besar kepada pemberita Jumaat lalu, "Saya sudah beritahu selagi saya diberi peluang untuk mengeluarkan buah fikiran, maka jawabnya tidak (untuk menyerahkan sekolah agama)....saya tidak akan serah. Mana-mana guru yang bersetuju mengajar....boleh terus mengajar, manakala yang tidak setuju boleh keluar.... Bantuan tetap akan diterima. Kalau kerajaan Pusat tidak bagi pun kita akan minta....kalau dia hendak beri selama-lamanya lagi baik,".
Bagaimanapun sebuah akhbar cuba mengeksploitasikan berita itu dengan tajuk 'Nik Aziz ugut guru agama', sedangkan perkataan itu langsung tidak disebut Menteri Besar.  Kemudian akhbar yang sama cuba memaikan isu tersebut (yang tidak betul) dengan menemubual pelbagai pihak termasuk Menteri Pendidikan.

Menteri Besar juga berkata, tindakan sedemikian (menghantar memorandum) tidak elok kerana negeri ini ada tuannya (pemimpin). "Kita tidak boleh membelakangkan kerajaan atau mengeluarkan kenyataan begitu mudah (dalam akhbar), begitu juga pegawai kerajaan tidak boleh mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya kerana ada prosedurnya.

Sementera itu, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun, mengingatkan guru-guru  sekolah menengah agama rakyat terbabit terutama yang menghantar memorandum kepada Dato' Seri Najib Tun Razak tidak bermain api.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Zulkefli Yaakob berkata, orang ramai perlu berhati-hati terhadap polemik ciptaan akhbar proUmno yang menabur fitnah terhadap Menteri Besar dan PAS.
 

SMH
Harakah Kelantan