Make your own free website on Tripod.com
AIR KELANTAN KERJA KERAS PULIH BEKALAN AIR

PENGKALAN CHEPA:
Kesungguhan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memulihkan bekalan air kepada 800 keluarga di Kuala Besar, Pulau Kundur, Pulau Gajah, Pantai Cahaya Bulan (PCB), Pulau Kassim sebelum 31 Ogos lalu menjadi kenyataan apabila bekalan air di kawasan tersebut berfungsi semula, 26 Ogos lalu.

Perkembangan itu berlaku berikutan loji penapis air di Kampung Putih, Kota Bharu siap dibina.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Kesihatan negeri, Haji Hassan Abdullah, berkata bagi meringankan bebanan yang ditanggung penduduk di negeri ini, AKSB berkerja keras memulih semula bekalan air dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata demikian kepada Harakah sempena lawatannya bersama Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, ke kampung Pulau Besar, Pengkalan Baru, Pulau Gajah, Taman Perumahan Semut Api bagi meninjau perkembangan pemulihan air.  Turut mengiringi beliau ialah, Pengurus Air Kelantan, Haji Fauzi Abdullah.

Haji Hassan berkata, dalam tempoh seminggu, proses penyambungan semula air berjaya dilakukan dalam usaha mengatasi masalah tekanan air rendah di seluruh kawasan di Pantai Cahaya Bulan. Bagaimanapun beliau mengingatkan pengguna yang masih menerima tekanan air rendah hendaklah menggantikan semula saluran paip bagi mendapatkan tekanan air lebih baik.