Make your own free website on Tripod.com
 
 

SURAT TERBUKA KEPADA RAKYAT KELANTAN

ROSLAN SMS (Anak Kelahiran Kelantan)

Seperti yang dijangkakan Dr. Mahathir akhirnya mengumumkan juga pembubaran Parlimen pada hari ini. Dengan ini bermakna rakyat Malaysia akan keluar mengundi sedikit hari lagi. Semua Dewan-dewan Undangan Negeri juga turut akan dibubarkan pada waktu yang sama termasuklah Kelantan, kecuali Sabah dan Sarawak yang mempunyai tarikh pilihanraya negeri yang berasingan.

Kesemua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dikuasai oleh Barisan Nasional sebelum pembubarannya kecuali Kelantan. Kelantan akan menjadi tumpuan dan perhatian ramai kerana ialah satu-satunya negeri yang dimenangi oleh PAS yang diperintah oleh seorang ulamak sebagai Menteri Besar. Rakyat Malaysia telah melihat dengan  kagum gaya dan cara pentadbiran Tok Guru di Kelantan selama 10 tahun yang lalu  malah keterampilan beliau dikira melengkapkan imej Serambi Mekah yang cuba ditonjolkan oleh Kerajaan negeri. 

Umat Islam bukan hanya di Kelantan malah di seluruh tanahair begitu menghurmati dan mengkagumi kepimpinan Tok Guru termasuklah mereka-mereka yang bukan Islam. Tok Guru akan dikerumuni oleh orang ramai ke mana sahaja beliau pergi di Malaysia ini. Wajahnya yang sejuk itu dikenali oleh ramai termasuklah anak-anak kecil. Kehebatan daya tarikan ini bukan sebenarnya berpunca dari peribadi Nik Aziz itu sendiri tetapi sebenarnya oleh kerana imej ulamak dan Tok Guru yang dibawa dan diamalkannya itu.

Sekaligus Kelantan dihurmati dan disegani oleh orang-ramai oleh kerana memiliki seorang Tok Guru sebagai Menteri Besar serta barisan EXCO dan wakil-wakil rakyatnya yang ramai terdiri dari golongan ulamak. Penghurmatan ini tidak dimiliki oleh mana-mana negeri pun di luar Kelantan. Rakyat Kelantan seharusnya berasa bersyukur dan berbangga oleh kerana memiliki aset yang sangat bernilai dan diimpikan oleh rakyat dinegeri-negeri lain.

Kini mandat dikembalikan kepada rakyat Kelantan untuk memilih kerajaan bagi tempuh 5 tahun yang baru. Apakah rakyat Kelantan akan bangun dan mempertahankan kepimpinan ulamak ini ataupun bertindak meruntuhkannya dan digantikan dengan kepimpinan sekular yang bermatlamatkan kebendaan semata-mata? Apakah tergamak rakyat Kelantan memupuskan satu-satunya Kerajaan berteraskan ulamak di rantau Asia Tenggara ini? Atau apakah rakyat Kelantan akan keluar beramai-ramai dengan berani  menunjukkan kepada dunia bahwa kepimpinan ulamak yang ada akan kekal di bumi Kelantan ini?

Atas bahu Tuan-tuanlah pemutus masalah ini, janganlah menghampakan harapan dan keinginan rakyat di luar Kelantan yang mahu melihat kepimpinan ulamak di Kelantan menjadi teraju dan pemangkin kepada kebangkitan Islam keseluruh Malaysia. Sesungguhnya Tok Guru Menteri Besar Kelantan adalah juga Tok Guru untuk sebahagian besar rakyat Malaysia, kepada Tuan-tuan rakyat Kelantan kami merayu agar dikekalkanlah Kerajaan PAS ini dan humbankan keluar mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab dari kalangan UMNO dan Barisan Nasional yang cuma mementingkan agenda peribadi serta periuk nasi masing-masing itu.

Kami berdoa semoga Tuan-tuan semua diteguhkan pendirian dan dikuatkan semangat agar berterusan bernaung di bawah kepimpinan ulamak. Allahuakbar!

Roslan_s@yahoo.com