August 24 , 1999 18:20PM
KOLEJ ISLAM ANTARABANGSA DITUBUH DI KELANTAN
 
KOTA BAHARU, 24 Ogos (Bernama) -- Kelantan hari ini menyaksikan penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), sebuah pusat pengajian tinggi Islam.

Pengerusi Akademi YAKIN Sdn Bhd Datuk Abdul Razak Saleh berkata, KIAS yang merupakan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dikendalikan oleh pihaknya iaitu sebuah anak syarikat milik penuh Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

"KIAS akan terus berkembang sehingga berupaya menawarkan pengajian di peringkat ijazah termasuk menambah pengajian dalam bidang-bidang lain yang berteraskan Islam," katanya pada majlis perasmian pelancaran kolej itu di sini, hari ini.

Pelancaran kolej itu dilakukan oleh Sultan Kelantan.

Pada peringkat awal ini, KIAS menawarkan Pengajian Usuluddin di peringkat diploma yang mengambil masa tiga tahun dan selepas itu para graduan boleh melanjutkan pengajian selama dua tahun di Universiti Al-Azhar di Mesir untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda.

Menurut beliau, KIAS ditubuhkan atas dasar kebajikan untuk rakyat dan sehubungan itu pihaknya menetapkan RM2,000 sebagai yuran bagi keseluruhan pengajian, iaitu yang terendah berbanding institusi-institusi pengajian tinggi lain.

Kolej itu yang terletak di Nilam Puri, kira-kira 12 km dari sini dan beroperasi sejak 1 Ogos lepas kini mempunyai 248 penuntut serta 11 tenaga pengajar dengan empat daripada mereka berkelulusan doktor falsafah (Phd) manakala bakinya Ijazah Sarjana.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap turut menghargai penubuhan KIAS yang disifatkannya mampu mempertingkatkan nama Kelantan yang sebelum ini terkenal sebagai pusat pengajian Islam negara.

Berikutan daripada perkembangan dunia moden, penubuhan kolej itu adalah sejajar dengan usaha meningkatkan syiar Islam setelah sebelum ini pengajian agama Islam lebih banyak diamalkan melalui penubuhan institusi yang lebih kecil seperti di sekolah pondok dan surau, katanya.

Nik Aziz turut berharap supaya kolej itu dapat melahirkan lebih ramai golongan cendekiawan dan profesional Islam yang berwibawa. -- BERNAMA


Copyright ©1999 BERNAMA. All rights reserved. This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA.